PALS 1012 - TUGASAN 2 PENULISAN

Teknologi Hijau Untuk Mengurangkan Masalah/Isu Global Alam Sekitar

     Menurut laman web Worldometer, jumlah populasi masyarakat global kini semakin meningkat secara mendadak selaras dengan peningkatan taraf hidup, fasiliti kesihatan, keperluan harian dan prasarana kehidupan yang selesa. (Worldometer, n.d.) Negara yang membangun perlu mengutamakan persediaan tenaga kerja dalam pelbagai bidang antaranya bidang pendidikan, industri dan perubatan. Oleh yang demikian, taraf permintaan terhadap sumber semula jadi dan keperluan seseorang turut bertambah berurutan dengan jumlah populasi manusia yang semakin tinggi. Pengurusan alam semula jadi yang terancang akan turut menyumbang dalam mengelakkan pencemaran alam sekitar dan ekosistem bio yang tidak seimbang. Beberapa faktor yang menyumbang kepada kualiti hidup manusia dan alam sekitar terjejas adalah seperti penebangan hutan secara haram, pembakaran secara terbuka, sisa-sisa pepejal dan sisa air yang dibuang ke dalam sungai, penerokaan tanah yang tidak terkawal dan asap berbahaya yang dilepaskan oleh kilang dan kenderaan bermotor. (Mat Daud et al., 2017) 

     Antara isu semasa global alam sekitar yang memberi kesan kepada masyarakat sedunia merangkumi kesan rumah hijau, pemanasan global, pencemaran alam sekitar dan banyak lagi. Secara umumnya, gas-gas rumah hijau seperti karbon dioksida, gas metana, wap air dan sebagainya amat penting untuk bumi. Gas-gas rumah hijau, termasuk karbon dioksida, metana, nitrus oksida, dan wap air terhasil secara semula jadi. Gas-gas rumah hijau ini mempunyai kepentingan iaitu menyediakan keadaan yang sesuai kepada bumi untuk didiami. Tanpa gas-gas ini, suhu bumi menjadi rendah dan menyebabkan bumi tidak sesuai untuk didiami oleh benda hidup seperti manusia, haiwan dan tumbuhan. Gas-gas ini yang terdapat di atmosfera bumi menyerap dan membebaskan tenaga haba, menghasilkan kesan rumah hijau yang membuatkan suhu planet kita sesuai untuk didiami. Namun hal yang demikian, manusia telah membakar sejumlah besar arang batu, petroleum, dan bahan bakar fosil lain untuk menghasilkan haba dan elektrik buat penggunaan peralatan elektronik di rumah sejak revolusi industri Misalnya seperti peti sejuk dan penghawa dingin. Aktiviti ini telah membebaskan gas rumah hijau yang paling banyak dihasilkan manusia iaitu karbon dioksida dan gas Klorofluorokarbon (CFC) ke atmosfera Bumi. Akibat daripada ini, lebih banyak haba yang sepatutnya terbebas ke angkasa terperangkap dalam atmosfera dan menyebabkan pemanasan global. (MET Malaysia, n.d.) Hal ini harus ditangani dengan bijak demi memastikan kelangsungan hidup manusia sejagat, haiwan dan juga tumbuhan pada masa akan datang. (Mat Daud et al., 2017) Suatu teknologi yang digelar sebagai Teknologi Hijau boleh didefinisikan sebagai pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memelihara alam sekitar dan alam semula jadi serta meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia. (Government Ministries, 2019) Teknologi Hijau telah diwujudkan sebagai salah satu cara untuk melestarikan alam sekitar. (Mat Daud et al., 2017) 


     Salah satu inisiatif yang telah dilakukan oleh negara kita sendiri iaitu Malaysia ialah Dasar Teknologi Hijau Kebangsaan (DTHK) yang telah dilancarkan oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada Julai 2009. DTHK memberi tumpuan dalam aspek pemacuan pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan lestari. (Mat Daud et al., 2017) Terdapat empat tonggak utama dalam dasar ini. Yang pertama adalah tenaga di mana ia memberi fokus dalam mencari ketidakbergantungan manusia kepada tenaga yang tidak boleh diperbaharui dan mempromosikan kecekapan tenaga dengan menggalakkan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga solar, angin dan sebagainya. Dasar kedua adalah alam sekitar iaitu memulihara serta meminimumkan kesan negatif dari aktiviti manusia, seperti pencemaran, kepada alam sekitar. Ketiga adalah ekonomi iaitu teknologi hijau mampu meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi. Misalnya, inovasi sesebuah produk teknologi hijau yang memberi impak positif akan menaikkan nama Malaysia ke persada dunia dan pada masa yang sama akan menarik pelabur-pelabur luar untuk melabur di negara kita. Dasar yang terakhir iaitu yang keempat adalah sosial. (Abd Rashid, 2020) Teknologi hijau ini dapat meningkatkan kualiti hidup untuk kehidupan di Bumi dengan menjamin kualiti alam sekitar yang lebih mapan. (Man, 2011) Terdapat tujuh sektor utama yang difokuskan oleh DTHK, namun penulisan ini akan membincangkan teknologi hijau dalam sektor bekalan tenaga, sektor pengangkutan dan sektor bangunan.
 

     Teknologi hijau berupaya untuk menggantikan penggunaan sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui. Antara bekalan tenaga alternatif lain yang boleh diperbaharui adalah angin, biojisim, hidro, solar dan sebagainya. Penggunaan tenaga solar adalah sangat popular pada masa kini dan digunakan oleh masyarakat sejagat di seluruh dunia sebagai pengganti buat tenaga elektrik. Tenaga elektrik boleh menyebabkan pencemaran pada air dan udara dan boleh menghasilkan sisa berbahaya yang perlu dilupuskan dengan cara yang betul. Menurut Rahim Muhammad Roslan, et.al., (2022), bahan berbahaya seperti karbon dioksida, merkuri dan sulfur dioksida akan dihasilkan oleh pembakaran bahan api fosil. Oleh itu, dengan menggantikan tenaga solar sebagai sumber tenaga, ia boleh mengurangkan pencemaran akibat pembakaran bahan api fosil. Cahaya daripada matahari akan ditukarkan kepada tenaga oleh panel solar. Tenaga itu akan digunakan untuk menjana kuasa untuk kegunaan isi rumah seperti lampu dan sebagainya. Panel solar juga boleh digunakan sebagai penapis. Satu daripada lima loji kuasa yang beroperasi menggunakan arang batu di Amerika Syarikat menggunakan panel solar sebagai teknologi penapisan. Isotop nuklear dan tritium yang dibebaskan oleh loji kuasa nuklear dibebaskan ke dalam bekalan air bawah tanah. (Club, 2014) Panel solar akan menghasilkan pembersihan kendiri terhadap membran atau penapis kotor, tanpa memerlukan sebarang operasi manual oleh pengguna, sekali gus menjimatkan kos penyelenggaraannya. (Yahya, 2016) Air panas yang beroksigen rendah akan dihasilkan dan dilepaskan kembali ke dalam sungai-sungai berdekatan menyebabkan pencemaran air berkurang dan kualiti air pulih semula. (Club, 2014)

     Penggunaan bahan api fosil dalam industri pengangkutan juga akan meningkatkan pencemaran alam sekitar terutamanya pencemaran udara dan kesan rumah hijau. Tamsilnya, kereta konvensional yang menggunakan petrol yang diperolehi oleh petroleum. Justeru itu, beberapa inovasi teknologi telah dihasilkan sebagai jalan penyelesaian bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil. Antaranya ialah penggunaan kenderaan elektrik. Kenderaan eletrik boleh didefinisikan sebagai kenderaan yang digerakkan dengan menggunakan tenaga elektrik yang disimpan pada bateri, secara penuh atau sebahagiannya dengan menggunakan kuasa elektrik. (Nota Automotif, 2014) Kereta elektrik kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Hal ini kerana kereta eletrik memberi banyak manfaat kepada penggunanya. Menurut Arziana Mohamad Azaman (2019), kenderaan elektrik bergerak dengan 100% dipacu oleh tenaga elektrik, boleh dicas semula dan menggunakan kepala plug tiga pin yang mudah didapati. Penggunaan kereta elektrik dapat menjimatkan kos pembelian petrol sebanyak 69% dan kos penyelenggaraan sebanyak 64% disebabkan oleh kereta elektrik tidak perlu menggunakan komponen sokongan dalam enjin pembakaran dalaman seperti kereta konvensional yang mempunyai penapis minyak. Pengguna juga dapat menghindarkan diri daripada menghadapi situasi kenaikan harga petrol yang mungkin terjadi kelak. Di samping itu, penggunaan kereta elektrik dapat mengurangkan impak negatif kepada alam sekitar. Pencemaran udara terutamanya di kawasan bandar yang mempunyai populasi penduduk yang menggunakan kenderaan yang tinggi dapat dikurangkan kerana ia menghasilkan jejak karbon yang jauh lebih rendah. Di negara maju seperti Eropah, peratusan penjanaan tenaga boleh diperbaharui adalah yang tertinggi, di mana kereta elektrik menjana sehingga 50% kurang karbon dioksida sepanjang hayatnya berbanding kereta diesel. Sebagai perbandingan, di Poland, kereta elektrik mengeluarkan secara purata 25% kurang karbon dioksida daripada kenderaan diesel . Laporan 2016 oleh Yayasan Iklim Eropah dan Fondation pour la Nature et pour l’Homme, dengan kerjasama rakan kongsi termasuk WWF, Renault dan pengeluar bateri, jelas menunjukkan bahawa kereta elektrik terkecil boleh mengeluarkan sehingga 63% kurang gas rumah hijau dalam bandar iaitu tiga kali ganda kurang daripada diesel. (PCC Group, 2022) Dapat kita simpulkan bahawa penggunaan kereta elektrik ini mendatangkan banyak manfaat bukan sahaja sahaja memberi manfaat kepada pengguna tetapi juga kepada alam sekitar.


     Selain itu, inovasi enjin baru yang menggunakan minyak kelapa sawit sebagai pengganti minyak petroleum juga dapat mengurangkan fenomena pemanasan global yang semakin menginjak naik yang dihadapi satu global. Antara faktor utama yang menyumbang kepada isu pemanasan global ini adalah kandungan gas karbon dioksida di lapisan atmosfera yang semakin tinggi menyebabkan suhu Bumi meningkat. Kajian tentang penggunaan minyak kelapa sawit sebagai bahan api kenderaan dimulakan sejak tahun 1982 dengan menggunakan Kereta Mercedes-Benz telah digunakan untuk menguji kesesuaian minyak kelapa sawit ini. Selepas beberapa dekad, penggunaan biodiesel sebagai bahan api telah diaplikasikan oleh negara-negara maju dan membangun yang lain termasuk Colombia, Amerika Syarikat, Indonesia dan Kesatuan Eropah. Negara-negara ini menggunakan biodiesel yang diperoleh daripada minyak sayur seperti minyak kelapa sawit, biji sesawi serta kacang soya. Adunan biodiesel ini telah mengurangkan sebanyak 1.6 juta tan pembebasan karbon dioksida yang boleh dibebaskan oleh kenderaan diesel dalam setahun. (Awang, 2019) Semakin berkurang gas karbon dioksida maka fenomena pemanasan global akan dapat dipulihkan dan kawasan kutub utara tidak akan mencair dan dapat mengelakkan banjir berlaku. 

     Teknologi hijau dalam sektor bangunan juga turut diusahakan demi memerangi masalah alam sekitar. Salah satu daripadanya adalah bangunan hijau. Bangunan hijau merupakan salah satu teknologi yang menekankan konsep penjimatan tenaga dan penggunaan tenaga yang minimum yang dapat mengurangkan kesan kepada persekitaran di mana ia mempunyai ciri teknologi moden yang dibina sebagai binaan mesra alam. Penggunaan tenaga seperti tenaga elektrik, air serta kos dapat dijimatkan dan keselesaan dan persekitaran yang sihat juga akan terjamin kepada pengguna. Semakin banyak bangunan hijau yang telah ditubuhkan di setiap negara termasuk bangunan pejabat, kompleks membeli belah, sekolah, rumah kediaman dan pelbagai lagi. (Acuff et al., 2005) Antara bahan yang utama dalam penghasilan sesebuah bangunan hijau ini adalah tingkap dan pintu kaca. Penggunaan kaca dalam bangunan terutamanya bangunan pencakar langit dan bangunan moden kini sudah tidak asing lagi sebagai contoh Ibu Pejabat Suruhanjaya Tenaga, Malaysia dan Pixel Building, Australia. Penggunaan kaca dalam bangunan hijau dapat mengurangkan penggunaan pencahayaan yang bersumberkan tenaga eletrik dan memastikan kecekapan tenaga. Kecekapan tenaga boleh didefinisikan sebagai amalan penggunaan tenaga elektrik dengan kadar minimum dan optimum serta mengamalkan penjimatan supaya kurang pembaziran tenaga yang berlaku. Oleh yang demikian, tingkap dan pintu kaca dijadikan sebagai inisiatif lain untuk menggantikan penggunaan lampu pada waktu siang dengan membenarkan cahaya matahari masuk dan menerangkan ruang dalam bangunan tersebut. (Mat Daud et al., 2017)
   Seterusnya adalah tumbuh-tumbuhan. Tumbuhan boleh dianggap sebagai elemen utama dalam bangunan hijau kerana ia berperanan dalam menghasilkan oksigen dan menyerap gas karbon dioksida yang menjadi proses pengudaraan asas dalam kehidupan manusia. Selain daripada menjadi sumber udara segar, tumbuhan seperti pokok dan bunga di sekitar bangunan juga dapat menjadi hiasan dan menyedapkan pandangan dan menyediakan persekitaran yang redup buat para pengunjung. Jumlah gas hijau yang dibebaskan dapat diminimumkan dan kelestarian alam dijaga. 


     Selain itu, teknologi bangunan hijau turut memandang berat isu pencemaran dan pembaziran air. Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) atau secara ringkasnya, sistem tadahan air hujan, adalah sistem pengumpulan dan penggunaan semula air hujan yang dikumpul daripada bumbung bangunan yang kemudian disalurkan ke tangki penyimpanan air hujan sebelum digunakan semula untuk tujuan-tujuan tertentu. (Mahligai Damai, n.d.) Dengan pelaksanaan SPAH ini, ribuan tadahan dalam bentuk tangki air hujan akan terbina di bangunan. Tangki air ini secara tidak langsung akan turut membantu ke arah penjimatan air terawat, meminimumkan risiko banjir kilat serta keperluan untuk membina atau menaik taraf lebih banyak empangan. Antara contoh SPAH yang pernah menjadi kebiasaan masyarakat zaman dahulu ialah tempayan yang mengandungi air hujan yang digunakan untuk membersihkan kaki. (Shahrul Annuar, 2016) Hal sekecil ini juga dapat menyumbang dalam usaha penjimatan air. Oleh itu, jelas di sini bahawa kewujudan teknologi bangunan hijau ini dapat menaikkan lagi taraf kebaikan penghuni Bumi. 

     Natijahnya, teknologi hijau terbukti sebagai satu alternatif yang dapat mengurangkan dan meminimumkan isu-isu pencemaran alam sekitar, pembaziran air, kesan rumah hijau dan pemanasan global yang dihadapi oleh hampir semua negara pada masa kini. Produk dan inovasi teknologi hijau ini mampu meningkatkan kualiti hidupan di Bumi dengan menyediakan suasana dan persekitaran yang lebih bersih, ceria dan kekal untuk didiami. Penggunaan bahan yang boleh diperbaharui dalam kehidupan seharian amatlah digalakkan. Masyarakat perlulah cakna dan mengambil berat tentang alam sekitar dan bekerjasama berganding bahu untuk menangani dan menurunkan kadar pencemaran alam sekitar. Penekanan terhadap teknologi hijau ini adalah alternatif yang tepat dan dapat mendorong dan mendidik masyarakat dalam menyelamatkan Bumi. 

(1907 patah perkataan)

Rujukan
  1. Abd Rashid, A. S. (2020, February 14). Apa Itu Teknologi Hijau Dan Dasar Teknologi Hijau Negara. Mampan Kini. https://mampankini.com/apa-itun-teknologi-hijau-dan-dasar-teknologi-hijau-negara/
  2. Acuff, Z., Harris, A., Larsen, L., Magnus, B., & Pumphrey, A. (2005). Case Studies of Sustainable Development in Michigan. Building Green for The Future.
  3. Arziana, M. A. (2019, July 10). Kenapa kita perlu guna kereta elektrik? Sinar Harian. https://m.sinarharian.com.my/mobile-article?articleid=85837
  4. Awang, M. S. (2019, February 13). Biodiesel sawit sumber tenaga mesra alam. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/kolumnis/2019/02/530653/biodiesel-sawit-sumber-tenaga-mesra-alam
  5. Government Ministries. (2019, APRIL 9). Ministry of Energy, Green Technology and Water (Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) Malaysia. Malaysia Central. http://www.malaysiacentral.com/information-directory/ministry-of-energy-green-technology-and-water-kementerian-tenaga-teknologi-hijau-dan-air-malaysia/
  6. Mahligai Damai. (n.d.). Sistem Penuian Air Hujan (SPAH). Mahligai Idaman. Retrieved March 15, 2023, from https://mahligaiidaman.com/sistem-penuian-air-hujan-spah/
  7. Man, H. (2011, July 5). Teknologi Hijau : Apa Kepentingannya Kepada Masyarakat & Negara. PENGAJIAN AM 2. Retrieved March 14, 2023, from http://pengajianamkertas2-cikgusue.blogspot.com/2011/07/teknologi-hijau-apa-kepentingannya.html
  8. Mat Daud, K. A., Raja Manicknam, S. a., Abdul Aziz, L., Ransoi, P., & Azmi, Y. (2017). MODUL TEKNOLOGI HIJAU: ASAS KELESTARIAN (1st ed.). CETREE. https://cetree.usm.my/index.php/en/muat-turun/modulsekmen/modul-teknologi-hijau/447-modul-teknologi-hijau-th-bagi-panduan-guru-dan-aktiviti-murid-asas-kelestarian-biologi-fizik-kimia-dan-sains
  9. MET Malaysia. (n.d.). METMalaysia - Perubahan Iklim & Kesan Rumah Hijau. Jabatan Meteorologi Malaysia. Retrieved March 14, 2023, from https://www.met.gov.my/pendidikan/perubahan-iklim-and-kesan-rumah-hijau/
  10. Nota Automotif. (2014, May 7). Kenderaan elektrik (EV). Nota Automotif. Retrieved March 15, 2023, from https://notaautomotif.blogspot.com/2014/05/kenderaan-elektrik-ev.html
  11. PCC Group. (2022, 05 16). Adakah kereta elektrik mesra alam? Products Pcc Eu. Retrieved March 15, 2023, from https://www.products.pcc.eu/ms/blog/adakah-kereta-elektrik-mesra-alam/#przypis2
  12. Rahim, M. R., Palupi Trisasongko, A., Mohd Jaafar, M. N., Othman, N., Ramli, Y., Abdul Malik, M. S., & Mazlan Said. (2022). Ulasan: Pembangunan Teknologi Penggasan dan Penggunaan. Jurnal Teknologi, 193-210.
  13. Shahrul Annuar, S. (2016, February 27). Tuaian hujan bantu atasi gangguan bekalan air. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2016/02/128780/tuaian-hujan-bantu-atasi-gangguan-bekalan-air
  14. Shahrul Annuar, S. (2016, February 27). Tuaian hujan bantu atasi gangguan bekalan air. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2016/02/128780/tuaian-hujan-bantu-atasi-gangguan-bekalan-air
  15. Worldometer. (n.d.). World Population. Worldometer - real time world statistics. Retrieved March 14, 2023, from https://www.worldometers.info/
  16. Yahya, H. (2016, April 14). Sistem penapis air guna tenaga solar. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2016/04/143903/sistem-penapis-air-guna-tenaga-solar

Comments